Sunday 17 February 2013

Novel-Hikmah

Sinopsis


Amri ketua pembuli di sekolahnya. Dia dan kawan-kawannya selalu meminta wang perlindungan daripada murid-murid junior. Tiada sesiapa yang berani mengadukan tindak-tanduk Amri kepada guru kerana takut dibuli dengan lebih teruk oleh Amri. Guru pun tidak dapat menghukum Amri kerana ketiadaan bukti. Walau bagaimanapun, Sapura seorang pengawas sekolah yang berani memberitahukan hal Amri kepada guru disiplin, Cikgu Salman apabila ternampak akan salah laku Amri ketika meminta wang perlindungan daripada seorang murid junior. Amri berdendam dan merancang untuk mengenakan Sapura.

Pada masa yang sama, Amri berubah sikap apabila di rumah. Dia anak yang baik dan menyayangi ibunya. Amri dan ibunya hidup dalam kesusahan kerana bapa Amri tidak bertanggungjawab dan selalu meminta wang daripada ibu Amri. Sikap ayah Amri yang panas baran dan ganas itu menyebabkan Amri memberontak. Dia melepaskan kemarahannya dengan membuli murid-murid lain. Bagi Amri, orang lain pun perlu merasai sama rasa sakit hati yang ditanggung oleh dirinya.

Amri mengenakan Sapura dengan menyebabkan Sapura terjatuh ke dalam bendang. Sapura dan basikalnya diselaputi lumpur. Apabila pulang ke rumah, Amri mendapati bahawa ibunya cedera di dahi akibat perbuatan ayahnya. Ibu Amri juga pitam. Kesusahan yang dialami oleh Amri dan ibunya ini telah diketahui Sapura apabila Sapura datang ke rumah Amri untuk mengadukan kenakalan Amri kepada ibu bapa Amri. Sapura memahami punca kenakalan Amri dan bersimpati kepada Amri. Sapura ingin menolong Amri.

Amri berbasikal ke pekan yang jauh untuk membeli ubat untuk ibunya. Ketika ingin pulang, seorang pemuda meminta pertolongan daripada Amri. Rupa-rupanya Amri diperangkap. Pemuda itu dan kawannya ingin menyamun Amri. Apabila tidak berjaya mendapat wang, mereka membelasah Amri dan membuang ubat yang dibeli oleh Amri. Mujur Amri kemudiannya telah dibantu oleh Sapura.

Sapura dan ayahnya membawa Amri ke hospital. Sebelum itu, mereka berdua sudah membawa ibu Amri ke hospital. Sejak kejadian itu, Amri dan Sapura bersahabat baik. Amri pun berasa insaf dan tidak mahu membuli lagi sebaliknya dia ingin menjadi pembela kepada murid-murid yang pernah dibulinya.

Ayah Amri pula dipenjarakan kerana terlibat dengan perjudian haram dan dadah. Dia insaf dan memohon agar diberi peluang oleh Amri dan ibunya. Amri tidak berdendam lagi dan semakin bijak mengawal emosi.

Tema

Novel Hikmah, karya Mohd. Faris Ikmal, telah mengutarakan  tema kepincangan dalam keluarga.  Kehidupan Amri yang pincang angkara bapanya yang tidak bertanggungjawab dan bersikap zalim. Tindakan bapa Amri telah mempengaruhi sikap Amri dan telah menyebabkan Amri menjadi seorang budak yang nakal serta sering melanggar peraturan sekolah. Bapa Amri seorang kaki judi dan penagih dadah sering merampas wang dan barang kemas ibunya. Kepincangan ini memporak-perandakan kehidupan seharian Amri dan ibunya.

Persoalan

Pelbagai persoalan telah dipaparkan oleh pengarang dalam novel ini. Pengarang telah memaparkan persoalan tentang tanggungjawab bapa terhadap kesejahteraan keluarga dalam novel tersebut. Persoalan tersebut dapat dibuktikan melalui watak bapa Amri yang tidak menjalankan tanggungjawab terhadap keluarganya. Contoh yang jelas ialah dia suka berjudi dan menagih dadah. Dia juga sanggup mencederakan isterinya semata-mata untuk mendapat barang kemas dan wang.

 Selain itu , persoalan tentang kewujudan perasaan kasih sayang antara manusia turut terkandung dalam genre ini. Hal ini demikian kerana ibu Amri yang amat menyayangi anaknya iaitu Amri walaupun hidup dalam kemiskinan. Dia masih menghidangkan makanan kepada Amri walaupun dia sendiri dalam keadaan lemah.
 Seterusnya, ketabahan dalam menghadapi kesusahan hidup. Amri sebagai seorang anak cekal menghadapi dugaan dan penderitaan yang menimpa dirinya serta ibunya. Walaupun marah dengan tindakan bapanya, Amri tetap tabah memperjuangkan nasib ibunya.
 Di samping itu , pengarang juga menyelitkan persoalan tentang tanggungjawab anak terhadap kedua-dua orang tuanya bagi melengkapkan karya beliau. Persoalan tersebut terserlah melalui watak Amri. Amri sangat sayang dan bertanggungjawab terhadap ibunya. Dia sanggup mengayuh basikal sejauh sepuluh kilometer untuk pergi ke farmasi di pekan semata-mata untuk membeli ubat untuk ibunya yang demam dan luka.
Turut digarabkan dalam novel ini ialah, persoalan amanah dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan. Buktinya, Sapura yang merupakan seorang pengawas sekolah, amanah dalam menjalankan tugasnya melalui aduannya kepada Cikgu Salman tentang tingkah laku Amri mengugut murid-murid junior.



Watak dan Perwatakan

Amri
-       Anak tunggal dan nakal
-       Murid yang mengalami tekanan perasaan akbibat sikap ayahnya yang tidak bertanggungjawab.
-       Ketua pembuli di sekolah dan ditakuti oleh murid lain terutama murid yang lemah.
-       Anak yang baik dan sayang akan ibunya.
-       Benci dengan sikap ayahnya.
-       Cemburu dengan kebahagian orang lain.

Sapura
-       Pengawas sekolah yang tegas.
-       Amanah dengan tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
-       Berani menegakkan kebenaran.
-       Pemaaf walupun dirinya pernah disakiti dan tidak berdendam.
-       Baik hati dan suka menolong orang dalam kesusahan.

Emak Amri
-       Penyayang
-       Sabar dengan segala ujian dan dugaan yang menimpanya.
-       Isteri yang setia walaupun sering dipukul oleh suaminya yang tidak bertanggungjawab.

Ayah Amri
-       Seorang bapa yang tidak bertanggungjawab.
-       Suka memukul Amri dan ibunya jika kehendaknya tidak dipenuhi.
-       Terlibat dalam kegiatanjudidan dadah.

Ayah Sapura
-       Suka membantu orang yang dalam kesusahan.
-       Membantu membawa ibu Amri ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
-       Menemani Sapura mencari Amri di pekan.

Pak Dollah
-       Peruncit yang baik hati.
-       Sering memberi hutang kepada ibu Amri.

Siva
-       Kawan rapat Amri
-       Tidak mahu bersubahat dengan Amri untuk mengenakan Sapura.

Rozita
-       Kawan sekelas Sapura
-       Tidak mahu Sapura mengambil tahu hal kegiatan Sapura kerana takut Sapura akan dicederakan oleh Amri.

Latar

Masa
-       berlaku pada waktu siang dan malam.
-       Zaman moden

Tempat
-       Sekolah- berlaku kejadian buli, Amri dipanggil oleh Cikgu Salman setelah menerima aduan daripada Sapura tentang perbuatan Amri.
-       Rumah Amri- ibu Amri dipukul oleh ayahnya dan Sapura menyaksikan Amri dan ibunya berbual tentang perbuatan ayahnya serta Sapura mengetahui kenapa Amri bertindak membuli di sekolah.
-       Kawasan bendang- Amri mengenakan Sapura sehingga Sapura terjatuh ke dalam bendang.
-       Pekan- Amri membeli ubat untuk ibunya dan Amri dibelasah oleh perompak serta diselamatkan oleh Sapura dan ayahnya.
-       Hospital- Amri mendapatkan rawatan.

Masyarakat
-       Golongan pelajar yang suka membuli dan memeras ugut pelajar junior. Amri merupakan ketua pembuli di sekolahnyadan sering memeras ugut pelajar yang lemah.
-       Masyarakat yang amanah dan berani dalam menjalankan tugas. Keadaan ini dapat digambarkan melalui watak Sapura yang amanah menjalankan tugasnya sebagai pengawas.
-       Masyarakat yang mementingkan diri sendiri. Sebagai contoh, ayah Amri yang sanggup memukul Amri dan ibunya semata-mata kehendaknya tidak dipenuhi.
-       Masyarakat yang prihatin terhadap kesusahan orang lain dan sanggup membantu. Sapura dan ayahnya menghulurkan bantuan membawa ibu Amri untuk mendapatkan rawatan serta membantu Amri. Begitu juga Pak Dollah yang memberi hutang kepada ibu Amri.



Nilai dan Pengajaran

  1. Bertanggungjawab. Kita hendaklah bertanggungjawab terhadap tugas dan peranan kita dalam kehidupan. Sapura menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang pengawas sekolah dengan melaporkan aktiviti memeras ugut yang dilakukan oleh Amri. Selain itu, ibu Amri tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri walaupun sering dipukul suami.
  2. Amanah. Kita perlu mengamalkan nilai amanah. Amanah yang diberikan oleh pihak sekolah kepada Sapura telah dilaksanakan dengan baik dan jujur.
  3. Baik hati. Kita haruslah mengamalkan nilai baik hati sesama manusia. Sapura sanggup membantu keluarga Amri walaupun Amri pernah mengenakannya. Sapura juga tidak menyimpan dendam terhadap Amri.
  4. Simpati. Kita perlu memiliki sifat simpati terhadap orang lain. Sapura amat bersimpati atas penderitaan dan kesusahan hidup yang dialami oleh Amri.
  5. Kasih sayang. Kasih sayang perlu ada dalam diri kita. Amri amat menyayangi ibunya. Dia tidak rela melihat ibunya menjadi mangsa pukul ayahnya. Amri juga sanggup mengayuh basikal sejauh 10km untuk membeli ubat ibunya.
  6. Tolong-menolong. Kita perlulah saling menolong antara satu sama lain. Walaupun Amri pernah menyakiti hati Sapura tetapi Sapura sedikitpun tidak meyimpan dendam terhadap Amri. Malah, Sapura dan ayahnya menghulurkan bantuan kepada Amri dan ibunya.


2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. tolong perincikan lagi maklumat tersebut. terima kasih

    ReplyDelete