Tuesday 12 February 2013

Novel 6.20



TEMA
Novel 6.20 ini bertemakan jati diri seorang remaja yang diuji dengan arus dan pengaruh kemodenan. Jati diri dapat digambarkan melalui perwatakan Sukma yang dibantu rakan-rakannya untuk merungkai masalah yang berlaku di kawasan tempat tinggalnya. Masalah ini timbul apabila wujudnya kumpulan yang cuba memesongkan akidah dan pemikiran generasi muda  tanpa kawalan serta tidak terikat dengan peraturan dan undang-undang.
 Kehadiran tetamu seawal 6.20 pagi ke rumahnya seolah-olah memberi petunjuk kepada Sukma dan rakan-rakannya merungkai konflik tersebut. Sukma terkejut apabila mengetahui bahawa ibunya turut terlibat dengan kumpulan tersebut, namun akhirnya Sukma sedar ibunya merupakan individu penting dalam usaha membanteras pergerakkan kumpulan tersebut. Jati diri yang ditunjukkan oleh Sukma dan rakan-rakannya membuahkan hasil apabila mereka berjaya melumpuhkan kegiatan kumpulan tersebut bersama-sama pihak berkuasa. 

PERSOALAN

1.       Tanggungjawab pemimpin terhadap anak buahnya. Tn. Hj. Syaqir, bapa Sukma merupakan seorang pemimpin yang amat bertanggungjawab. Beliau menjadi wakil penduduk dan sentiasa mengambil berat akan kebajikan anggota masyarakat sekitarnya. Masanya lebih banyak dihabiskan di luar rumah untuk menyelesaikan masalah anak-anak buahya.

2.       Kerjasama dalam membanteras kegiatan negatif yang boleh merosakkan masa depan. Sukma bekerjasama dengan rakan-rakannya membantu pihak berkuasa melumpuhkan kumpulan yang telah mempengaruhi dan merosakkan minda generasi muda yang berpendidikan agar mereka lupa akan tanggungjawab kepada negara dan hasilnya mereka berjaya.

3.       Keprihatinan ibu bapa terhadap anak-anak. Keprihatinan ini dapat dibuktikan melalui watak ibu Sukma iaitu Puan Delia sangat mengambil berat akan keselamatan Sukma dan selalu mengawal Sukma supaya tidak berhubung dengan orang-orang yang tidak dikenali. Begitu juga ayahnya, yang sentiasa mengambil berat tentang Sukma dan menasihatinya agar bijak dalam setiap tindakannya.

4.       Perhubungan persahabatan yang erat dalam kalangan remaja. Buktinya, Sukma menjalin hubungan yang erat dengan rakan-rakannya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan agama. Keakraban mereka terjalin semasa di universiti, dan Sukma sanggup berusaha untuk menyelamatkan Jerry, sahabat karibnya sejak kecil daripada terus hanyut dalam kumpulan ruang sepi di Kelab WX2.

5.       Remaja yang ingin akan kebebasan dan melakukan apa-apa sahaja yang dikehendaki mereka. Jerry yang merupakan salah seorang golongan remaja yang telah terjebak dengan kumpulan yang ingin ingin mencari kebebasan melalui Kelab WX2. Jerry yang merasa dikongkong sejak kecil oleh keluarganya bertindak melibatkan diri dengan kelab WX2 yang akhirnya diselamatkan oleh Sukma dan Rafiq.

6.       Amanah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Puan Delia yang amanah dalam melaksanakan tugasnya, apabila dia menyimpan kukuh rahsia bahawa dirinya bertugas membantu pihak berkuasa mengawasi kumpulan WX2. Puan Delia tidak pernah membocorkan rahsia mengenai dirinya kepada ahli keluarganya sehinggakan Sukma berperansangka buruk terhadap ibunya.




PLOT
Plot ialah perjalanan cerita atau rentetan cerita yang mempunyai sebab dan akibat.

Permulaan
Kehadiran para tamu di awal pagi ke rumah Sukma menimbulkan keresahan dalam diri Sukma. Sukma indin berkenalan dengan mereka tetapi dihalang oleh ibunya, Pn. Delia. Beliau beranggapan bahawa tetamu tersebut hanya ingin mengambil kesempatan terhadap Sukma memandangkan ayahnya seorang pemimpin di kawasan itu. Perubahan sikap rakan-rakan sekuliah Sukma turut menimbulkan keresahan Sukma. Hal ini bermula apabila Jerry yang tiba-tiba berubah setelah menyertai kumpulan ruang sepi di Kelab WX2, begitu juga Teja dan Iskandar.

Perkembangan
Sukma menyiasat aktiviti di Kelab WX2 dan dia bertemu dengan Iskandar semasa dia masuk ke tempat kumpulan tersebut. Sukma juga bertemu dengan Aim dan Aim membawa Sukma ke rumah neneknya, dan Rafiq juga membawa Sukma beretemu abang Aim iaitu tetamu Sukma yang datang ke rumahnya pada hari Selasa, iaitu seorang lelaki kurus. Sukma pelik dengan perwatakan Jerry yang cukup berbeza daripada sebelumnya, dan Sukma dan rakan-rakannya cuba menasihati Jerry. Sukma terkejut dengan pernglibatan ibunya dalam aktiviti Kelab WX2. Akhirnya Sukma tahu aktiviti Kelab WX2.

Konflik
Sukma berselisih pendapat dengan ayahnya apabila mendapati ahaynya tidak tahu tentang aktiviti kumpulan itu. Iskandar yang merupakan seteru Sukma, memujuk Sukma supaya tidak masuk campur dalam urusan kumpulan tersebut. Sukma terkejut apabila dia ternampak ibunya berbual dengan Iskandar di hadapan rumahnya pada jam 6.20 pagi. Sukma mengetahui ayah Aim meninggal dunia akibat AIDS, tetapi nenek Aim berpendapat arwah telah menjadi mangsa kumpulan yang tidak bertanggungjawab. Semasa pulang dari Kelab WX2 dengan Kak Ros, Sukma ternampak ibunya keluar dari rumah dan Sukma yakin bahawa ibunya terlibat dengan kumpulan tersebut kerana pernah belajar di luar negara. Sukma memaklumkan kepada ayahnya bahawa ibunya terlibat dengan kumpulan WX2. Sukma memujuk Jerry agar memberi kerjasama dalam usaha membanteras kumpulan tersebut dan Jerry bersetuju.

Klimaks
Operasi oleh pihak berkuasa untuk menggempur lokasi aktiviti kumpulan tersebut tetapi mereka telah berpindah ke lokasi lain. Operasi yang kedua membuahkan hasil apabila Iskandar yang kelihatan sudah insaf turut serta dalam operasi tersebut. Keadaan kucar-kacir kerana ahli kumpulan tersebut tidak menjangkakan pihak berkuasa akan melakukan operasi tersebut untuk menggempur lokasi simpanan dadah Pati 1 dan dadah-dadah lain. Ahli kumpulan berkenaan dapat diberkas dalam tempoh 1 jam dan Sukma membayangkan ibunya akan menerima hukuman yang berat nanti.

Penutup
Sukma bercerita tentang pengalaman yang dilaluinya selama 2 minggu lepas. Sukma sedar kini bahawa sangkaan buruk terhadap ibunya selama ini salah kerana, sebenarnya ibu Sukma merupakan orang penting dalam usaha membanteras pergerakkan kumpulan ruang sepi Kelab WX2. Ibunya menyamar untuk membantu pihak berkuasa. Ibu Sukma terkena tembakan ahli kumpulan berkenaan dan kini sedang koma. Ibunya ditembak supaya rahsia kumpulan itu tidak terbongkar. Sukma tidak sabar menunggu ibunya sedar daripada koma untuk memohon maaf.

WATAK DAN PERWATAKAN
Sukma
- gadis berusia 19 tahun dan pelajar di pusat pengajian tinggi tempatan dalam jurusan Sains Politik.
- anak tunggal Tn. Haji Syakir dan Puan Delia, merupakan anak kesayangan.
- gadis yang cinta akan budaya Timur dan menentang budaya Barat yang cuba meracuni minda golongan muda.
- Sukma sering tidak sependapat dengan Iskandar yang lebih mengagungkan budaya Barat.
- Sukma pandai menari tarian zapin dan menjadi guru tarian zapin kepada kanak-kanak di kawasan tempat tinggalnya.
- Gadis yang prihtin,tegas, rajin dan bijaksana. Selain daripada itu, Sukma mudah simpati dan bertanggungjawab.

Rafiq Mustaqeem
- pemuda yang pernah tinggal di luar negara dan pelajar cemerlang semasa menuntut di Amerika Syarikat.
- merupakan anak orang berada tetapi tidak dimanjakan dengan kemewahan.
- Rafiq bukan anak Melayu tulen tetapi mengagumi budaya Timur dan merupakan seorang pemuda yang kacak.
- Rafiq amat menyenangi Sukma dan mengambil berat akan Sukma dan sentiasa membantu Sukma.
- Seorang pemuda yang suka menghulurkan bantuan, menghormati orang lain, berani dan bertanggungjawab.

Puan Delia
- ibu Sukma dan merupakan seorang wanita yang agresif serta menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.
- beliau seorang yang bijaksana, cantik, baik hati dan amat menyayangi ahli keluarganya.
- Pn. Delia menghidap penyakit darah tinggi. Berpendidikan tinggi dan mendapat pendidikan di Barat.
- Pn. Delia ditugaskan untuk mengawasi pergerakkan kumpulan ruang sepi di Kelab WX2 dan tidak pernah membongkarkan rahsia tugasnya sehinggakan Sukma mennyalahkan ibunya dan menuduh Pn. Delia sebagai tali barut kumpulan yang cuba memesongkan akidah generasi muda.
- beliau jga seorang yang penyayang, amanah, bertanggungjawab,dan berani.

LATAR


Latar Tempat

  1. Di hadapan pagar rumah Sukma – Sukma berasa hairan apabila dia menerima tetamu yang tidak diundang datang ke rumahnya setiap jam 6.20 pagi. Antara tetamunya, seorang perempuan tua membawa buah manggis dengan bakul rotan, seorang lelaki berpakaian lusuh, seorang kanak-kanak lelaki dan dua ekor kucing.
  2. Rumah Sukma – Sukma sering bertelagah dengan ibunya kerana Pn. Delia dikatakan terlalu mengawal pergerakkan Sukma. Tn. Hj. Syakir sering menasihati anak dan isterinya supaya bertenang dan meminta Sukma memohon maaf daripada ibunya.
  3. Di Kelab WX2 – Sukma yang tidak berpuas hati apabila banyak individu yang dikenalinya terlibat dengan kumpulan tersebut, membuatkan Sukma pergi ke kelab tersebut untuk menyiasat bersendirian. Sukma telah bertembung dengan Iskandar di kelab tersebut dan Sukma dihidangkan air oren.
  4. Di dewan kuliah – Sukma bertemu dengan Rafiq dan Teja sering mengusik Sukma apabila Rafiq sering memandang Sukma di dewan kuliah. Sukma juga sering dipuji oleh Profesor Darul yang kagum akan kebijaksanaan Sukma dan sering menyoal Sukma untuk mendapatkan jawapan yang cemerlang.
  5. Di rumah nenek Aim – Sukma telah di bawa oleh Aim ke rumah neneknya dan Sukma baru tahu bahawa nenek tua yang datang ke rumahnya ialah nenek Aim. Di rumah nenek Aim, Sukma mengetahui banyak perkara tentang hubungan nenek Aim dengan keluarganya. Nenek Aim pernah menjaga Sukma semasa kecil kerana ibu Sukma sakit selepas melahirkannya.

Latar Masa
  1. 6.20 pagi – masa Sukma menerima tetamu bermula seorang nenek tua, pemuda, seorang budak kecil, dan 2 ekor kucing Burman.
  2. Dalam tempoh 2 minggu – Sukma berhadapan dengan pelbagai persoalan yang menggusarkan hatinya.
  3. Waktu pagi – Sukma menghadiri kuliah Prof. Darul.
  4. Selepas 2 minggu – Sukma mendapat jawapan bagi setiap persoalan dan dia tidak sabar menunggu ibunya sedar untuk memohon maaf.

Latar Masyarakat
  1. Masyarakat yang berpendidikan tinggi – Sukma dan kawan-kawannya penuntut universiti, Pn. Delia lulusan universiti luar negara, begitu juga Rafiq.
  2. Masyarakat yang bertanggunjawab – Sukma mengambil berat tentang kehadiran tetamu walaupun dihalang oleh ibunya. Begitu juga dengan bapa Sukma yang bertanggungjawab terhadap masyarakat di kawasannya.
  3. Masyarakat yang prihatin – Sukma dan ayahnya amat prihatin terhadap penderitaan yang terpaksa dilalui oleh Ehsan yang menghidap sakit jantung dan kulit.


 


 



7 comments:

  1. bolehkah cikgu tolong terangkan persamaan dan perbezaan antara watak rafiq dan puan delia. terima kasih

    ReplyDelete
  2. Nk tanya kalau ada soalan macam ni nk jawab macam mana?
    Soalan- nyatakan contoh peristiwa yang ada kaitan dengan diri sukma iaitu seorang yang mempunyai jati diri yang kental

    ReplyDelete